Empunya Blog

My photo
Selangor, Malaysia
Tidak liberal. Tidak radikal. Cuma sederhana/average/moderate. Di tengah-tengah. Tu sebab selalu stuck.

Friday, 29 July 2011

KALAH DI PADANG, MENANG DI HATI <-- klik untuk artikel asal

Kuala Lumpur, 29 Julai – Malaysia harus berbangga dengan persembahan skuad Harimau Malaya dalam perlawanan kedua bertemu Singapura semalam walaupun terpaksa akur dengan kekalahan agregat 6-4.
Setiap pemain menunjukkan daya juang yang sangat tinggi demi memenuhi hasrat lebih 95 ribu penyokong yang membanjiri Stadium Bukit Jalil. Itu belum dikira jumlah penonton yang menonton siaran langsung baik di TV1 mahupun Astro Arena.
Namun kekentalan barisan pertahanan Singapura yang sentiasa menafikan percubaan pemain Malaysia mahupun cubaan-cubaan menembusi benteng pertahanan menidakkan hasrat Harimau Malaya untuk mencapai kemenangan malahan ia diburukkan lagi dengan serangan-serangan balas yang mampu merancakkan degupan jantung penyokong setia skuad negara.
Sepanjang 45 separuh masa pertama serangan bertali arus cuba dilakukan bagi memperolehi gol awal tetapi sebaliknya berlaku apabila beberapa percubaan merbahaya singgah di kubu pertahanan negara sehinggakan penjaga gol Kahairul Fahmi Che Mat terpaksa melakukan aksi-aksi lebih dari biasa bagi memastikan Singapura tidak bergembira awal.
Separuh masa kedua Malaysia merancang strategi dengan lebih teratur dan akhirnya membuahkan hasil disaat kekeliruan dan situasi kelam kabut di kawasan pertahanan Singapura, Safee Sali yang menunggu di sebelah kanan mendapat hantaran jauh terus membuat tendangan kencang menewaskan Mohamad Izwan Mahbub untuk membolehkan skuad negara mendahului walaupun jaringan tersebut dibantah oleh pemain Singapura termasuk jurulatihnya Radojko Avramovic.
Tidak terus melatah dengan jaringan tersebut Singapura mengatur langkah mengambil kesempatan di sebalik semangat Malaysia mencari gol tambahan dengan mencuri peluang ketika kealpaan barisan pertahanan yang akhirnya memberikan mereka gol penyamaan pada minit ke-72 menerusi Shi Jiayi.
Keputusan seri itu sudah memadai buat Singapura untuk meneruskan kemaraan dengan agregat penuh 6-4.
Pujian harus diberikan kepada Khairul Fahmi kerana sebagai benteng terakhir negara dia telah melakukan tugas dengan secemerlang mungkin walaupun satu gol tetap melepasinya disebabkan sedikit kealpaan barisan pertahanan disamping permainan taktikal yang baik pihak lawan.
Walaupun Malaysia kalah semalam namun kesungguhan setiap pemain tanpa mengharapkan pemain luar memenangi hati setiap penyokong yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bagi. Sekiranya Singapura tidak mengamalkan polisi memberi kerakyatan kepada pemain luar sudah tentu Malaysia mampu melangkah lebih jauh lagi selepas ini. Tetapi dasar membuka pintu merencatkan hasrat skuad negara yang terpaksa berhadapan dengan pemain yang tidak setara dengan saiz tubuh badan pemain Asia Tenggara termasuk cara permainan yang berbeza walaupun itu bukanlah alasan sebenarnya.
Bukan itu sahaja, helahan demi helahan pemain Singapura untuk untuk mempercepatkan tiupan wisel penamat mengganggu tempo permainan Harimau Malaya yang terus ingin mencari gol.
Sebagai pengendali skuad Harimau Malaya pula, Datuk K. Rajagobal tahu setiap keputusan yang dibuatnya walaupun ramai yang membantah beberapa keputusannya kerana bagi mereka ada lagi pemain yang lebih layak beraksi berbanding beberapa pemain yang diturunkannya semalam.
Seperti biasa sebagai jurulatih dan ketua, dia secara profesional tetap mempertahankan anak buahnya kerana menurutnya hukuman tidak harus diletakkan dalam satu perlawanan semata-mata tetapi prestasi semasa harus diambil kira.
Sementelah matlamat utamanya adalah untuk mempersiap barisan pemain bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2015. Oleh itu menurut Rajagobal pemain-pemain harus diberi peluang agar mereka dapat mengambil pengajaran dan mempertingkatkan lagi prestasi menghadapi perlawanan-perlawanan mendatang.
Dalam wajah sedikit sugul semalam Rajagobal sempat menitipkan penghargaan yang tidak berbelah bagi kepada penyokong setia skuad negara yang sentiasa memberi sokongan walaupun ia berakhir dengan kegagalan.
Berbeza dulu dan kini, fenomena skuad Harimau Malaya menyebabkan bukan sahaja setiap sudut Stadium Bukit Jalil dilimpahi penyokong Malaysia berbanding setompok penyokong warna merah di sebelah tempat duduk kenamaan, malahan ada yang sanggup merayu diluar pagar untuk masuk oleh kerana tiket habis dijual.
Ia menandakan bola sepak Malaysia kini kembali menjadi sebutan rakyat Malaysia dengan beberapa pencapaian membanggakan sebelum ini.
Kini harapan tergalas ke bahu Ong Kim Swee untuk melayakkan skuadnya ke Olimpik London tahun depan.
Kepada skuad Datuk K.Rajagobal tahniah diucapkan walaupun gagal ke pusingan ke-3 kelayakan Piala Dunia 2014. Setidak-tidaknya anda telah menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi dengan tidak memberi kemenangan pihak lawan di laman sendiri.
Kepada penyokong setia skuad negara, terima kasih atas sokongan anda yang kembali menjadikan bola sepak negara kini sesuatu yang dibanggakan.

YEAH!! AUUUMMM!!

1 comment:

LeNsA said...

wuk wuk wuk!